Friday, November 16, 2018

Belajar 33 Tahun Hanya Dapat 8 Perkara

Belajar Selama 33 Tahun, Hanya Mendapat 8 Perkara:

Suatu hari, Imam Syaqiq al-Balkhi bertanya kepada muridnya yang bernama Hatim al-Asom:

■ Imam Syaqiq : "Sudah berapa lama engkau menuntut ilmu daripadaku?".

● "Sudah 33 tahun", jawab Hatim.

■ "Apa yang telah engkau pelajari, selama 33 tahun ini?", tanya Imam Syaqiq.

● "Hanya 8 perkara", jawab Hatim.

■ "Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'uun !

Kuhabiskan umurku untuk mendidikmu, namun engkau hanya mempelajari 8 perkara daripadaku?", Ucap Imam Syaqiq kehairanan.

● "Benar Yaa Syeikh, aku hanya mempelajari 8 perkara sahaja, aku tidak mahu mendustaimu", jawab Hatim.

■ "Cuba sebutkan 8 perkara yang telah kau pelajari itu !". Kata Imam Syaqiq.

● Hatim al-Asom pun berkata :

1 Pertama:
"Kulihat setiap manusia memiliki seorang kekasih. Ketika dia mati, kekasihnya ikut menghantarkannya hingga ke kubur, lalu meninggalkannya sendirian di sana."

○ Maka, Aku lebih memilih amal kebajikan sebagai kekasihku,
Sehingga ketika nanti Aku masuk liang kubur, amalku akan ikut bersamaku.

2 Kedua:
"Aku merenungkan firman Allah" : "Dan adapun orang² yang takut kepada Kebesaran Rabbnya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya, maka syurga-lah yang akan menjadi tempat tinggalnya."(Surah al-Naazi'aat [79] : 40-41).

○ Aku sedar, bahawa Firman Allah pastilah benar, Maka aku pun berjuang untuk melawan keinginan nafsuku, hingga nafsuku tunduk kepada Allah.

3 Ketiga:
"Ku perhatikan manusia selalu memuliakan dan menyimpan harta benda berharga yang mereka miliki, lalu kupelajari Firman Allah":
"Apa yang ada disisimu akan lenyap, dan apa yang ada disisi Allah akan kekal."(Surah al-Nahl [16] : 96).

○ Maka setiap kali aku memperoleh sesuatu yg berharga, aku pun sedekahkannya di jalan Allah, agar hartaku selalu tetap terjaga di sisi-Nya.

4 Keempat:
"Aku melihat setiap manusia mengejar harta, kedudukan, kehormatan dan kemuliaan nasab. Namun setelah aku mempelajarinya, ternyata semua itu tiada apa²nya, dikala aku membaca firman Allah" :
"Sesungguhnya, orang yang paling mulia disisi Allah, adalah orang yang paling bertaqwa (kepada Allah) di antara kalian."(Surah al-Hujurat [49] : 13)

○ Kerana itulah, aku pun beramal untuk mewujudkan Taqwa, agar aku memperolehi kedudukan yang Mulia di sisi Allah Ta'ala.

5 Kelima:
"Aku melihat manusia saling mencela dan melaknat, dan punca semua itu adalah hasad (kedengkian). Lalu aku mempelajari Wahyu Allah" :
"Kami telah membahagikan untuk penghidupan mereka di alam dunia."(Surah al-Zukhruf [43] : 32)

○ *Akupun sedar, bahawa semuanya telah dibahagi oleh Allah. Maka aku tinggalkan sifat Hasad (dengki), ku jauhi manusia, dan aku tidak bermusuhan dengan seorang pun.*

6 Keenam:
"Kulihat manusia saling menganiaya dan saling membunuh, padahal Allah telah berfirman":
"Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka jadikanlah ia sebagai musuh (mu)."(Surah Fathir [35] : 6)

○ *Oleh sebab itu, kutinggalkan permusuhan dengan manusia dan kujadikan syaitan sebagai satu²nya musuhku. Aku selalu mewaspadainya dengan sekuat tenaga, sebab Allah sendiri yang telah menjadikan syaitan sebagai musuhku.*

7 Ketujuh:
"Aku melihat setiap orang hanya demi sepotong roti (harta), mereka rela menghinakan diri mereka sendiri dengan melakukan hal² yang diharamkan oleh Allah.
Lalu kuperhatikan Firman Allah" : "Dan tiada suatupun binatang melata di bumi, melainkan Allah telah menanggung rezekinya."(Surah Hud [11] : 6)

○ *Aku sedar, bahawa diriku adalah salah satu daripada yang melata itu, dan Allah Ta'ala telah menjamin rezeki ku. Oleh kerana itu, kusibukkan diriku untuk menunaikan kewajiban yang telah diberikan oleh Allah dan aku tidak pernah merisaukan sesuatu yang telah dijamin oleh Allah untukku.*

8 Kelapan:
"Aku melihat semua orang bergantung kepada Makhluk Allah. Ada yg bergantung kepada ladangnya, bergantung kepada perniagaannya, bergantung kepada pekerjaannya, dan bergantung kepada kesihatan jasmaninya.
Akupun kembali kepada Firman Allah" :
"Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah, maka Allah akan mencukupkan (segala keperluan)nya."(Surah al-Talaq [65] :3)

○ *Oleh kerana itulah, aku pun bertawakkal (bergantung) kepada Allah yang Maha Perkasa dan Maha Agung, dan Allah pun mencukupi semua keperluanku.*

■ Mendengar jawaban dari Hatim al-Asom tersebut kemudian Imam Syaqiq al-Balkhi berkata :
"Wahai Hatim, semoga Allah memberimu Taufiq. Aku telah mempelajari Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran. Dan kutemukan bahawa semua jenis kebaikan dan ajaran Agama, berkisar pada 8 perkara yang tadi telah engkau sampaikan. Barangsiapa mengamalkan 8 perkara tersebut. Maka bererti, dia telah mengamalkan isi dari 4 kitab suci."

*_KEMATIAN PASTI DATANG_*

No comments:

Post a Comment