Sunday, November 15, 2015

Passion for XO Performance Seminar



Alhamdulillah,  berakhir sudah seminar Passion for XO Performance oleh sifu saya Dr. Lawrence Walter Ng.  Pada bulan November 2014 saya telah mengikuti kursus selama seminggu oleh beliau di The Mines, iaitu seminar Train The Trainer (TTT).  Seminar ini melatih para peserta untuk menjadi jurulatih atau seseorang yang mampu untuk mengadakan seminar dengan berkesan.  Semua lepasan pelajar dari TTT ini digelar 'Master Trainer' dan mereka perlu melalui proses internship selama setahun sebelum mereka boleh diberikan sijil dan bergelar 'Certified Master Trainer'.

Peserta meminta angels untuk mengira pencapaian mereka

Seminar yang sangat hebat dan menarik

Dalam proses internship ini, semua Master Trainer dikehendaki untuk menghadiri beberapa siri seminar yang dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih bertauliah dari Lawrence Walter Seminars (LWS) dalam usaha mempelajari serta mendalami konsep, pendekatan, teknik dan sumber-sumber yang digunakan dalam menghasilkan sesebuah seminar yang berkesan.

Sepanjang setahun melalui proses internship ini, semua seminar yang dijalankan oleh LWS adalah sangat-sangat memberikan impak yang maksima kepada para pesertanya.  Apatah lagi dengan kehadiran 'angels' dari kalangan gadis-gadis comel yang menceriakan lagi seminar dan juga bertindak sebagai pembantu kepada penceramah dalam menyampaikan seminar mereka.  Penggunaan muzik latar yang berlainan untuk setiap keadaan sangat-sangat menarik.


Antara buku-buku tulisan Dr. Lawrence

Sebagai Master Trainer, kami diajar oleh Dr Lawrence untuk menggunakan segala kaedah ini dalam menjalankan seminar.  Bukan itu sahaja, kami diajar bagaimana menggunakan suara profesional dan tidak menggunakan suara percakapan biasa dalam seminar, audio visual yang menarik serta poster-poster yang memaparkan kata-kata positif yang mana digunakan sepanjang seminar berlangsung.

Seminar dari LWS ini banyak mengajar kita untuk berubah menjadi lebih positif dengan mengubah corak hidup lama yang negatif tanpa kita sedari dan menggunakan kuasa minda kita dalam kehidupan seharian untuk menghasilkan sesuatu yang positif dalam usaha mengejar cita-cita atau bekerja dengan penuh produktif.

Seminar selama dua hari ini telah dijalankan untuk syarikat NIDEC Corporation.  LWS banyak diangkat oleh syarikat-syarikat terkemuka seperti Samsung, Starbucks, Air Asia dan lain-lain lagi untuk menjalankan latihan bagi syarikat mereka dan ianya terbukti amat-amat berkesan. LWS juga telah dilantik untuk menjalankan seminar syarikat-syarikat besar bukan sahaja di Malaysia malah negara-negara lain seperti Singapura, Indonesia, China dan sebagainya.

Bersama Dr. Lawrence

Saya merasa amat-amat bertuah kerana menjadi salah seorang dari pelajar Dr Lawrence.  Sepanjang sessi seminar, Dr Lawrence banyak kali mengambil masa untuk memberi tunjuk ajar kepada saya ketika para peserta berehat dari seminar.  Beliau juga banyak memberikan tips-tips yang berguna yang boleh saya gunakan untuk syarikat saya dan juga seminar yang bakal saya laksanakan pada masa akan datang.

Tuesday, November 10, 2015

Tertidur dengan Contact Lens

Hari ini saya berkunjung ke KPJ Seremban. Sudah hampir lima tahun rasanya saya tidak ke sini. Saya ke sini untuk check mata kerana ketidakselesaan yang berterusan akibat dari pemakaian contact lens. Ianya mula terjadi setelah saya tertidur tanpa membuka contact lens tersebut. Semenjak dari itu saya rasa tidak selesa, mata saya berpasir dan gatal-gatal. Sudah puas saya mengunjungi klinik biasa dan diberikan antibiotik beserta dengan ubat titik tetapi masalah ini tidak hilang.

Pada hari Ahad lepas saya sudahpun berkunjung ke Optimax TTDI untuk mendapatkan pemeriksaan mata lengkap kerana saya bercadang untuk membuat prosedur lasik di pusat tersebut disamping untuk memeriksa keadaan mata. Alhamdulillah, segala-galanya ok tetap masalah kegatalan itu tidak hilang. 
Saya mula mengesyaki yang kegatalan tersebut mungkin disebabkan oleh bahagian dalam kelopak mata saya. 

Saya cuba membelek-belek kelopak mata, akhirnya secara tiba-tiba ianya membengkak dan menyebabkan ketidakselesaan semakin serius. Akhirnya saya membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan di sini kerana tidak banyak pakar mata di kawasan Seremban ini. 



Tapi itulah... Disebabkan hanya ada seorang sahaja pakar mata, saya terpaksa menunggu lebih 2 jam kerana doktor yang saya ingin jumpa sedang melakukan pembedahan mata. Nasib baik ada Gloria Jeans di sini. Dapatlah saya berehat sambil menunggu dengan  selesa.