Saturday, October 27, 2018

Anak Itu Tanggungjawab, Ujian & Amanah



Sesiapa yang mempunyai anak pastinya merasa teruja. Usahkan berpisah berhari-hari, berpisah beberapa jam pun kita sudah rasa rindu untuk mendengar gelak tawanya dan melihat matanya yang menghilangkan segala dugaan di dunia ini.

Anak sebenarnya perhiasan hidup untuk kegembiraan kita. Anak juga adalah tunggak untuk kita berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh bagi membuktikan bahawa kita adalah ibubapa yang bertanggungjawab.

Semua orang ingin menjadi ibubapa yang dibanggai oleh anaknya. Jadi sebagai ibu bapa kita mesti bekerja lebih demi masa depan anak-anak.

Sewaktu zaman susah dulu, saya pernah tinggalkan Nurul Amani Izzati berminggu-minggu demi kerjaya saya dan masa hadapannya. Outstation ke sana dan ke sini. Pernah masuk Felda keluar Felda. Kalau diikutkan isteri, pasti dia mahu saya sentiasa berada di rumah dan tidak suka saya terlibat dalan bisnes seperti ini. Kalau terlalu ikutkan kata isteri mungkin saya tidak mencapai apa yang saya mahukan sekarang.

Sedangkan dalam Islam wanita tidak boleh menjadi pemimpin, begitulah seorang suami, tidak boleh melantik isteri sebagai pemimpinnya. Wanita seringkali emosi tetapi lelaki seringkali mempunyai pandangan yang jauh.

Rasa rindu apabila berjauhan bukan kepalang tetapi saya tidak menjadikan rasa rindu itu sebagai penghalang untuk saya berusaha keras demi masa hadapan keluarga. Saya tidak mahu menjadi bapa yang dayus dan tidak mampu menjadi tunjang ekonomi rumahtangga. Saya mahu apabila dia besar, dia berbangga mempunyai bapa yang berjaya.

Alhamdulillah, sekarang Amani sering mengucapkan bahawa dia berbangga dengan saya. Banyak benda yang dia mahukan dapat saya tunaikan.

Waktu dulu saya risau untuk tinggalkan anak kepada penjaga. Apatah lagi banyak cerita yang kurang enak seringkali kedengaran. Tetapi kita kena ingat setiap yang berlaku itu tidak akan berlaku tanpa keizinan dari Nya. Dia lah yang Maha Mengatur setiap perjalanan hidup umat manusia. Kita kena sentiasa berdoa yang baik-baik dan sentiasa yakin.

Kalau Nabi Ibrahim terlalu mengalah dengan rasa cintanya terhadap Siti Hajar dan Nabi Ismail, pasti dia tidak tinggalkan mereka berdua ditengah padang pasir yang kering kontang tanpa apa-apa sebagai bekalan hidup. Adakah beliau tidak sayangkan anak dan isteri? Apatah lagi beliau terpaksa menunggu 99 tahun untuk mendapatkan zuriat... Nabi Ibrahim tidak menjadikan anak dan rasa cintanya untuk dijadikan alasan untuk tidak berusaha ke jalan Allah. Apatah lagi kita yang memerlukan sedikit usaha untuk masa hadapan keluarga.

Tugas kita di dunia ini adalah untuk berusaha memperkuatkan ekonomi umat Islam demi masa hadapan keluarga, agama dan negara. Jangan jadikan alasan anak dan isteri untuk kita tidak berusaha.

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

[At-Taubah, 9:24]

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

[Al-Anfal, 8:28]

Jom kita mulakan work, life, balance. Insyaallah kejayaan pasti menanti dunia dan akhirat.