Monday, February 1, 2016

Percutian ke Jepun


Alhamdulillah, akhirnya tercapai juga cita-cita saya untuk melawat negara matahari terbit ini.  Saya dan keluarga bersama-sama dengan sahabat saya iaitu Firuszana dan keluarganya telah merancang percutian ini lebih awal lagi.  

Tokyo Sheraton Grande Hotel
Kami memilih untuk pergi ke Jepun pada musim sejuk untuk menikmati kesejukan salji di sana.  Saya sangat teruja dengan budaya orang-orang Jepun yang sangat berdisiplin.  Mereka tidak makan sambil berjalan, mereka cuma makan di dalam keretapi atau di dalam restoran sahaja. Kalau di tempat lain, makanan dan minuman tidak dibenarkan dibawa masuk kedalam keretapi tetapi di Jepun ianya dibenarkan.  Akan tetapi keretapi mereka tersangat bersih kerana rakyat mereka sangat mementingan kebersihan.



Saiz katil yang besar



Hari pertama saya menginap di hotel Sheraton Grande di Tokyo Bay.  Hotel ini terletak di dalam Disneyland Tokyo.. tempat yang menjadi kegilaan kanak-kanak.  Itu adalah agenda utama untuk anak saya Nurul Amani Izzati dan juga anak-anak Firuszana. Hotel ini memang besar, rasa rugi pula sebab pilih untuk 3 orang tetamu kerana mereka memberikan kami 2 buah katil bersaiz queen dan satu katil bujang.

Keesokan harinya kami berjalan di sekitar kawasan pasar basah di Tokyo.  Di pasar ini terdapat pelbagai jenis seafood yang jarang dijumpai di Malaysia.  Saya tidak pasti pula harganya tetapi ianya agak menarik.  Cuma yang sukar sedikit di Jepun ini adalah untuk mencari restoran makanan halal.  Jadi kami banyak makan seafood selain dari makanan yang kami bawa dari Malaysia.

Rice cake yang comel dan sedap






Strawberry yang sangat segar dan manis


Amani, Farissa dan Fatihah
Setelah Disneyland dibuka, kami bergerak dari pasar pagi ke sana. Di sana kami meluangkan sepenuh masa untuk membawa keluarga ke Disneyland Tokyo. Disneyland ini lebih besar dari di Hong Kong.  Terdapat DisneySea bersebelahan dengan Disneyland ini.  

Walau bagaimanapun saya tidak berkesempatan untuk ke DisneySea ini kerana cuaca teramat-amat sejuk. Kami menghabiskan masa di dalam Disneyland sehingga malam.  Oleh kerana kesejukan dan sentiasa berjalan saya terasa begitu kepenatan, tetapi kanak-kanak langsung tidak menunjukkan tanda-tanda penat sebab mereka terlalu excited dengan semua permainan di dalam Disneyland.

Saya sudah pun memasuki tiga Disneyland iaitu di Hong Kong, Paris dan Tokyo.  Apa yang pasti di Paris dan Tokyo mereka menggunakan bahasa rasmi negara mereka.  Jadi agak sukar untuk kita fahami beberapa pertunjukan. Berbeza dengan Disneyland di Hong Kong, pertunjukkan dipecahkan kepada dua sessi iaitu Mandarin dan Bahasa Inggeris. 

Paling menarik di dalam Disneyland ni adalah Parade Show nya.  Parade show ni bermaksud pertunjukan jalanan.  Hampir semua karakter Disney akan keluar semasa pertunjukkan Parade Show ini.  Semuanya sangat-sangat cantik.  Begitu juga dengan pemilihan model mereka, seolah-olah sama dengan karakter kartun di dalam cerita Disney.

Kalau nak pergi ke Disneyland, seboleh-bolehnya janganlah pergi pada hujung minggu atau cuti sekolah.  Lebih teruk adalah pada hujung minggu kerana penduduk mereka sendiri pun datang mengunjungi Disneyland dan menyebabkan queue untuk bermain setiap permainan itu menjadi terlalu panjang.  
Apa yang kami alami ketika berada di Disneyland Paris sangat-sangat mengecewakan. Kami terpaksa beratur sehingga 45 minit malah lebih dari itu untuk bermain setiap game ataupun untuk bergambar dengan karakter Disney.  Sangat-sangat membuang masa dan memenatkan kerana terpaksa berdiri lama berjam-jam.



Amani sangat excited walaupun sejuk

Menunggu Parade Show

Frozen show

Parade show


Segalanya dibuat begitu teliti dan menarik perhatian



Disneyland Castle

Sebelum Disneyland ditutup, selalunya ianya akan diraikan dengan bunga api yang sangat-sangat menarik diiringi dengan lagu yang rancak dan meriah. Sampai di hotel saja saya terus terlena kepenatan.

Keesokan harinya kami bertolak ke Yudanaka, iaitu bahagian tengah-atas Jepun.  Sepanjang perjalanan kami dapat melihat salji yang menebal apabila hampir tiba ke destinasi.  Suhu di sini teramat sejuk tetapi pemandangan cukup indah.  Di Jepun tidak ada tong sampah.  Jarang sekali untuk kita berjumpa tong sampah.  Ini kerana mereka membawa pulang sampah sendiri.

Perjalanan ke Yudanaka


Kami berada di Yudanaka selama dua malam. Kawasan ini sangat unik.  Saya jatuh hati dengan keindahan bumi Jepun dan kebersihan nya.  Pada mulanya saya terfikir, bagaimana orang Jepun boleh jadi tersangat berdisiplin.  Tetapi apabila kita ingat balik ayat Al-Quran, kita memang dijadikan berlainan supaya kita boleh mengenali antara satu sama lain.  Sememangnya Allah sudah menciptakan kita begitu.


Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).] Surah Al-Hujurat: ayat 13

Kanak-kanak geram dengan salji yang begitu lembut dan tebal

Di sini saljinya adalah sangat tebal.  Suhu mencecah -3º hingga -7º celcius.  Saljinya pula teramatlah putih dan halus.  Rasa macam nak makan je salji tu.. nasib baik tak ada sirap, kalau tidak dah jadi ABC.



Air yang membeku kerana kesejukan
Pada hari yang keempat, kami mendaki gunung yang terkenal dengan monyet yang bermuka merah yang terletak di Nagano.  Walaupun agak tinggi dan licin, tetapi kerana kecantikan alam semulajadi serta kesejukan udara di sini, kami langsung tidak berasa penat.










Saya sangat suka berada di sini, kecuali satu sahaja iaitu sukar untuk mendapatkan makanan yang halal.  Jadi, kami cuma masuk ke dalam kedai convenient store yang dibuka 24 jam dan membeli makanan laut serta roti sahaja.  



Setelah berada dua malam di Yudanaka, Nagano, kami bertolak pulang semula ke Kotaraya Tokyo.  Di sana kami menghabiskan masa selama dua hari menikmati pemandangan bandaraya yang serba canggih itu.  Tetapi jangan terkejut sekiranya anda dapati segala gadget yang di jual di Tokyo terutamanya di pusat gadget iaitu di Akihabara Street jauh lebih mahal dari di Malaysia.  Jadi tak sesuai untuk kita berbelanja di sana.  Simpan sahaja duit untuk berbelanja makan dan berjalan.




Akihabara Street

Perjalanan selama 6 hari 5 malam ini sangat menyeronokkan.  Yang pastinya saya ingin ke sana lagi kalau dipanjangkan umur. Selamat tinggal Tokyo.