Thursday, February 7, 2019

KESAKITAN ITU MEMBERI KEKUATAN




Siapa yang mahukan kesakitan dalam kehidupan mereka..? Namun takdir tetap datang menguji.

Saya bersyukur kerana dilahirkan oleh seorang ibu yang sangat penyayang. Kehidupan kami ketika itu sangat-sangat sederhana. Ibu bekerja sebagai jururawat dengan gaji yang rendah tetapi perlu menyara keluarga dan kadang-kadang termasuk juga saudara-mara yang dalam kesusahan.

Tetapi kebahagiaan saya direntap dengan pemergian ibu secara tiba-tiba sewaktu saya berumur 8 tahun. Ketika itu adik bongsu saya berumur 3 tahun dan ibu sedang mengandung.

Abang sulung saya masih di Tingkatan 1. Semuanya masih mentah untuk menerima sebuah perpisahan. Pada hari yang sama kami keluar dari rumah kerajaan dan pulang ke kampung ibu. Abang-abang saya tinggal bersama bapa dan saya, kakak dan adik memilih untuk tinggal bersama nenek.

Perancangan Allah tidak pernah kita ketahui. Namun ianya yang terbaik untuk kita. Lima tahun kemudian adik ayah saya datang mengambil adik yang akan memasuki alam pesekolahan dan pada tahun keenam kakak saya pula dijemput Illahi.

Hidup keseorangan itu pedih dan menyakitkan. Namun kita ada fikiran yang waras. Kadang-kadang, saya menangis teresak-esak merindui ibu dan adik-beradik yang lain. Saya hanya ada nenek tua untuk menumpang kasih ketika itu.

Di saat rakan-rakan sekampung yang mempunyai keluarga hanyut dengan ubat batuk dan dadah, saya memilih untuk mengubah masa hadapan saya dengan lebih cerah. Jalan hitam bukan pilihan saya.

Cita-cita saya sentiasa besar. Saya ingin buktikan kepada diri sendiri yang saya boleh keluar dari kepompong kesusahan. Saya akan mampu memiliki segala yang tidak pernah saya miliki ketika kecil. Alhamdulillah, janji Allah itu benar. Allah tidak akan mengubah hidup sesuatu kaum itu sekiranya mereka tidak mengubah hidup mereka sendiri.

Saya sentiasa berdoa supaya dipanjangkan umur. Saya tidak mahu kesedihan, kesakitan dan kesusahan yang saya lalui itu dilalui oleh anak saya. Saya limpahkan kasih sayang yang saya tidak pernah dapat kepada anak saya. Namun saya sangat tegas supaya kasih sayang itu tidak merosakkannya.

Kita boleh merancang tapi Allah sentiasa ada perancangannya. Saya mengambil simpanan-simpanan takaful supaya sekiranya takdir Allah menjemput saya lebih awal, anak saya tidak akan melalui kesempitan hidup seperti yang saya lalui. Hibah yang bakal saya tinggalkan cukup untuk anak saya meneruskan pelajaran, kehidupan sehingga dirinya dewasa. Biarlah kesakitan itu saya sahaja yang lalui dan menjadi sebuah kenangan yang berharga.

Perpisahan itu menyakitkan dan memedihkan. Sekiranya kita punya keluarga, fikirkanlah apa yang bakal mereka lalui sekiranya kematian itu menjemput kita. Adakah kita sanggup untuk meninggalkan kesusahan, kesempitan, kesakitan kepada orang yang tersayang? Masa hadapan kita dan keluarga, kita yang tentukan. Tindakan di tangan kita. Ubah hidup kita sekarang.