Friday, January 31, 2020

Bahasa itu Adalah Kita




Kalau kita tak mampu untuk berbicara yang baik-baik, lebih baik diam saja dari kita mengguris hati orang lain. Allah akan mengampunkan dosa kita namun dosa sesama manusia hanya insan tersebut sahaja yang mampu memaafkan.  Seringkali kita merasakan diri kita berada di pihak yang benar dan cuba menegakkan benang yang basah.  Namun begitu fikirkan kembali sekiranya kita melakukan perkara yang sama kepada orang lain, adakah orang tersebut juga akan merasa kecewa dengan kita atau tidak merasa apa-apa?



Kita tidak akan nampak kesalahan diri kita.  Kita tidak merasa kesan dari tindakan kita terhadap orang lain. Seringkali kita muhasabah diri. Sekali kita berkata buruk kepada orang lain, keburukan itu akan kembali kepada kita.  Sekali kita melaknat orang lain, maka laknat itu adalah untuk kita. Buangkan keegoan diri dan jadilah insan yang disayangi oleh makhluk dan Allah.  Allah tidak suka orang yang menyakiti sesama manusia.  Allah tidak suka orang yang sombong dan bongkak di muka bumi ini.  Jangan sesekali bersikap sombong dan bongkak walaupun terhadap orang yang berbuat jahat kepada kita kerana tindakan buruk kita itu akan menjadikan kita seorang yang buruk sama seperti orang yang kita tidak suka.



Jauhkan fitnah, jauhkan mengata. Orang yang berhati mulia tidak akan menuturkan kata-kata yang tidak baik walau ke atas orang yang jahat. Kata-kata lahir dari hati. Jika buruk kata-kata itu maka ianya datang dari hati yang buruk juga.  Apabila kita berkata mengikut rasa hati, akan adanya bisikan syaitan yang menjerumuskan kita ke arah fitnah, dan fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh.



Beradalah dalam lingkungan mereka yang baik-baik. Apabila kita berada di dalam kalangan mereka yang buruk, maka kita pun akan kelihatan buruk juga. Apabila kita memilih untuk berkiblatkan mereka yang tidak baik, maka kitapun sebahagian dari orang yang tidak baik.  Kita punya akal untuk berfikir.  Kita diberi didikan untuk mengharungi hidup dengan sempurna.  Jangan biarkan kita dididik oleh mereka yang tidak berpelajaran, tidak berilmu dan tidak beriman kerana fikiran mereka dan fikiran kita tidak sama. Hidup itu indah, maka indahkan ianya dengan rasa cinta dan keimanan.

No comments:

Post a Comment