Friday, February 16, 2018

DUNIA ITU SEMENTARA TETAPI TANPA DUNIA KITA AKAN LEMAH





Apabila saya membuat keputusan untuk menceburkan diri dalam perniagaan, matlamat saya adalah untuk mempunyai masa terhadap keluarga dan agama. Tidak pernah sesekali saya berniat untuk menjadi kaya raya kerana bagi saya harta dunia tidak akan kekal dan kita mungkin hanyut dalam kealpaan.

Setakat mana kita boleh makan makanan yang sedap, setakat mana kita boleh tidur di atas tilam yang empuk dan selama mana kita mampu memandang rumah yang besar tersergam indah.

Namun begitu, tanpa dunia ekonomi kita akan lumpuh. Negara yang miskin senang dijajah. Bangsa yang lemah senang ditindas. Orang yang miskin tidak mampu menyumbang dari segi ekonomi untuk agama, bangsa dan negara.

Saya menyokong anak-anak muda untuk bekerja keras, mempunyai cita-cita yang besar dan menjadi kaya raya kerana mereka masih muda dan punya ruang waktu yang lama untuk menikmati kemewahan hidup serta membentuk masa hadapan yang lebih terjamin.

Bagi diri saya sendiri, saya sentiasa mencari-cari jalan bagaimana untuk bersara dengan cepat agar saya dapat menumpukan perhatian mencari khusnul khatimah. Namun, setakat ini masa masih belum mengizinkan. Saya masih ada tanggungjawab yang besar untuk membimbing insan-insan yang ingin berjaya. Insan-insan yang jujur kepada diri sendiri dan bertanggungjawab kepada keluarga.

Buat masa ini saya mempunyai dua perniagaan yang saya harus tumpukan. Satu untuk diri saya dan orang-orang yang saya bimbing dan satu lagi saya bina untuk keluarga dan masa hadapan anak saya Nurul Amani Izzati.

Kalau diikutkan satu sahaja sudah mencukupi, tetapi saya ingin anak saya menumpukan perhatian kepada pengajian agama. Jadi, saya perlu menyiapkan satu platform yang tersedia untuknya demi masa hadapan yang lebih terjamin. Saya tidak mahu dipersalahkan kelak. Biarlah buat masa ini saya berkorban masa saya untuk dirinya. Alhamdulillah, kedua-duanya semakin maju dan sangat menggembirakan saya.

Kalau setakat ingin menyara keluarga, berniaga di gerai tepi jalan pun sudah mencukupi untuk kehidupan yang biasa-biasa. Tetapi saya mahu menjadi seorang ayah yang dikagumi oleh anaknya sendiri. Bukan ayah yang tidak ada pencapaian.

Alhamdulillah, Amani sentiasa berbangga dengan diri saya. Satu suntikan semangat untuk saya berusaha dengan lebih rajin. Ini adalah hasil daripada pengorbanan saya memperjudikan masa hadapan diri saya dan dirinya satu waktu dahulu.

Saya sentiasa percaya rezeki itu di tangan Allah. Apa sahaja yang kita buat, sentiasa yakin dan berdoa. Tidak akan ada makhluk yang mampu menjejaskan rezeki kita selagi Allah menurunkannya kepada kita.

Kadang-kadang ada juga waktunya kita cuba dikhianati dari insan yang iri hati dengan kejayaan kita. Itu lumrah dunia. Bagi saya tidak perlu membalas kembali. Cukuplah kita tahu berapa dalam poket kita dan berapa di dalam poket mereka. Tidak perlu ada dendam kerana harus percaya Allah itu Maha Adil, cuma kadangkala rasa simpati datang dalam diri melihat keadaan orang-orang ini dan kehidupan mereka.

Tidak ada kejayaan yang datang dengan percuma. Walau apa sekalipun yang kita usahakan, usaha dengan bersungguh-sungguh. Sebesar mana pun impian kita, kena sentiasa ingat dunia ini hanya sementara. Biarlah harta yang kita kejar itu dapat membantu kita di akhirat, bukannya menyusahkan kita kelak.

Semakin kita mengejar dunia, semakin ia akan menjauh. Namun semakin kita mencari akhirat, semakin dekat ia datang. Semoga hidup kita semua beroleh keberkatan. Insyaallah....

#pesananuntukdirisendiri

No comments:

Post a Comment